Powered By Blogger

21 June 2022

Era Endemik...

Salam / Selamat sejahtera.

Inilah post pertama Penulis dalam tahun 2022.

Alhamdulillah... syukur kepada Allah yang memberikan kesihatan yang baik kepada Penulis.

Pandemik yang melanda dunia akibat penyakit COVID19 memberi kesan kepada ramai manusia... dan Penulis tidak terkecuali. Sewaktu Pandemik melanda, hati Penulis sentiasa dalam keadaan resah dan gelisah. Penulis sering tertanya-tanya... adakah Kiamat sudah hampir tiba? Perasaan risau dan takut senantiasa berlegar-legar di dalam diri Penulis.

Ketika coretan ini dizahirkan, Malaysia berada di dalam fasa Endemik. Kita telah pun menerima COVID19 sebagai penyakit yang tetap akan ada di dalam kehidupan kita, sepertimana penyakit-penyakit lain seperti Denggi, Cacar dan selainnya.

Suasana politik Malaysia juga masih belum stabil, masih seram-sejuk seperti demam yang masih belum kebah. Kesihatan Politik yang tidak stabil, menyebabkan Ekonomi menjadi kucar-kacir...

Tidak apalah, kita tinggalkan pentas opera Politik Malaysia...

Pada tahun ini(2022), anak kembar lelaki Penulis mendapat keputusan SPM! Alhamdulillah... mereka berdua mendapat keputusan yang baik... Penulis sangat bersyukur, ini kerana mereka berdua telah menghadapi cabaran dan dugaan yang pelbagai dalam menuju ujian SPM...

Penulis dan keluarga berpindah dari Selayang ke Cyberjaya pada bulan Januari tahun 2020... dua bulan selepas itu, COVID19 melanda dunia. Ketika ini anak kembar lelaki Penulis masuk ke Tingkatan 4 dan kakak mereka ke Tingkatan 5 di sekolah menengah di Cyberjaya. Belum sempat mereka mengenali rakan-rakan dan guru-guru serta menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran yang baru di sekolah... mereka kesemuanya terpaksa melakukan pembelajaran secara Online di rumah akibat PKP(Perintah Kawalan Pergerakan) yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada waktu itu.

Kakak mereka, anak sulung Penulis adalah yang paling terkesan. Seorang yang pemalu dan pendiam, tetapi ada ramai juga kawan-kawan di sekolah lama, itupun saling berkenalan sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, kini menghadapi suatu keadaan di mana tiada sesiapa pun yang boleh dia jadikan rujukan dalam pembelajaran. Namun begitu, dia berjaya juga dalam ujian SPM dan kini menuntut di sebuah Kolej di Melaka... syukur alhamdulillah...

Perkara yang sama juga dihadapi oleh anak kembar lelaki Penulis, malah kedua-dua mereka dijangkiti COVID19 beberapa hari sebelum ujian SPM... akibatnya, mereka terpaksa mengambil kertas peperiksaan pada waktu yang lain. Namun jiwa mereka kental dalam menghadapi cabaran... dan alhamdulillah lulus dalam peperiksaan SPM dan mendapat keputusan yang baik.

Semoga anak-anak yang mengambil SPM sezaman anak-anak Penulis di waktu Pandemik, berjaya di dunia dan di akhirat. SPM bukan penamat dalam pembelajaran... jika tidak berjaya, janganlah kecewa dan teruskan berusaha... umur masih muda, masa hadapan masih ada jalan... insha Allah. Pada Ibu-Bapa dan Penjaga... janganlah berasa kecewa jika anak-anak tidak mendapat keputusan seperti yang diidamkan... teruslah memberi sokongan... anak-anak peneraju Agama, Bangsa dan Negara...

Ya Allah, ya Tuhan kami... kasihi dan kasihanilah kami... matikanlah kami dalam keadaan tunduk dan patuh kepadaMu ya Allah... dan tempatkanlah kami bersama orang-orang yang saleh...

Salam...

27 August 2021

Tumbangnya sebuah kerajaan - satu percaturan politik.

Salam dan selamat sejahtera.

Setelah pelbagai taktik politik, cemuhan, kritikan dan percaturan, akhirnya kerajaan Pakatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin atau lebih mesra dengan panggilan Abah... tumbang.

Perdana Menteri terbaru Malaysia iaitu PM yang ke-9 ialah, Datuk Seri Ismail Sabri, iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri di waktu pemerintahan TSMY(Tan Sri Muhyiddin Yasin). Maka kembalilah UMNO dipuncak pentadbiran. Walaupun begitu, kerajaan Pakatan Nasional tetap ada, cuma terajunya bertukar tangan.

Perlu disebut disini, pesaing DSIS(Datuk Seri Ismail Sabri) untuk jawatan PM ke-9 adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim(DSAI). Seperti yang diketahui oleh semua, keinginan DSAI untuk memegang jawatan PM telah bermula sejak zaman Tun Mahathir lagi. Bukan calang-calang DSAI ini, kerana ketokohan dan karisma yang ada pada dirinya, beliau berjaya pada suatu ketika menyatukan PAS dan DAP dalam satu gabungan! Sedangkan PAS dan DAP pada waktu itu malah ketika ini, hubungan mereka ibarat 'anjing dengan kucing'.

Walaupun mempunyai DAP untuk mendapatkan sokongan etnik Cina, dan PAS untuk sokongan Melayu-Islam, serta partinya sendiri yakni PKR yang multi-etnik dan agama... DSAI tetap tewas dalam perjuangannya untuk duduk di takhta Putrajaya. Hanya setelah bergabungnya beliau dengan mentor dan musuh lama beliau yakni Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengetuai parti Bersatu, barulah gabungannya iaitu Pakatan Harapan bersama-sama Bersatu berjaya mengambil-alih Putrajaya... namun begitu beliau masih bukan terajunya.

Percaturan politik beliau tidak berjaya... bukan sekali malah sudah beberapa kali.

Sudah beberapa kali beliau(DSAI) memberitahu satu Malaysia bahawa beliau mempunyai angka sokongan. 'Angka majoriti dan sokongan yang jelas!'... itulah kata-kata beliau sebelum ini. Namun ianya 'indah khabar dari rupa'... sokongan yang dicanang sebenarnya tiada.

Sudah mula ada suara-suara yang membunyikan kebosanan terhadap perjuangan DSAI untuk duduk di tampuk, malah ada yang mula mencadangkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai tonggak yang akan menggantikannya sekiranya Pakatan Harapan menang pilihanraya. Cadangan ini tidak lain tidak, adalah untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Harapan. Bosan sudah penyokong PH melihat percaturan lama yang tidak ada hasilnya, mereka perlu 'udara' baru.

Itulah politik... sentiasa ada percaturan...

Tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Ismail Sabri... Perdana Menteri Malaysia yang ke-9!

Semoga Allah merahmati Malaysia...

#kitajagakita

26 June 2021

Covid19 dan Politik.

Salam dan selamat sejahtera.

Begitu lama rasanya Penulis tidak menulis.

Covid19 masih melanda manusia di seluruh dunia. Malaysia, pada waktu coretan ini adalah antara negara yang paling banyak kes jangkitan Covid di antara negara-negara di Asia Tenggara. Malaysia juga berada dalam Darurat serta 'Total Lockdown'. Begitu banyak peniaga-peniaga kecil yang kerugian besar, pekerja-pekerja yang kehilangan kerja, orang-orang yang tertekan... tekanan perasaan, tekanan jiwa akibat kerugian dan menjadi penganggur sekelip mata.

Kesan Covid19 bukan sahaja pada kesihatan dan nyawa, malah ianya berkaitan juga dengan kelangsungan kehidupan. Begitu besar cabaran dan dugaan... semoga Allah permudahkan kesemua yang dilanda kesusahan dan ditunjukkan jalan... insha Allah.

Penulis tahu dan memahami... ianya bukan mudah, namun begitu kembalilah kita kepada Allah. Sesungguhnya kepada Allah tempat kita mengadu dan berserah...

~2:155. Sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada ketakutan, dan kelaparan, dan kekurangan harta, dan jiwa, dan buah-buahan; dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar,
~2:156. Orang-orang yang, apabila mereka ditimpa penderitaan, berkata, ''Sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan sesungguhnya kepada-Nya kami kembali.''(inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un)
~2:157. Mereka itu, ke atas mereka adalah salawat(keberkatan), dan pengasihan daripada Pemelihara mereka, dan mereka itu, merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk yang benar.